Makanan di Muar

MUAR merupakan salah satu bandar tertua di Johor yang terletak di Kuala Sungai Muar bersempadan dengan Negeri Melaka. Nama lain bandar ini adalah Bandar Maharani dimana di daerah inilah saya dilahirkan, bersekolah dan juga pernah bertugas selama 5 tahun lamanya. Rasanya tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama bagi kita untuk mencintai persekitaran Bandar Muar. Penduduknya yang berbilang kaum atau keturunan akan melayan tetamu dari luar yang datang bertandang sungguh memukau. Rasanya dengan rasa senang hati, ramai individu yang anda hampiri akan memberi panduan dimana juga destinasi yang wajib dikunjungi oleh seorang yang mengembara. Melalui Jambatan Sultan Ismail yang dibina lama dahulu menuju ke bandar Muar,  anda seolah-olah akan kembali ke zaman kolonial. Semua itu dapat dilihat daripada bangunan-bangunan klasik yang mendominasi bandar Muar. Artikel petang 23 ogos 2020 ini saya menulis dalam blog mengenai kehebatan Muar sebagai salah satu dari syurga makanan yang enak dan murah serta patut dikunjungi.
Menurut sejarah yang asal, Parameswara pernah singgah di Muar sebelum pergi ke Melaka. Maklumat lain juga ada mengisahkan tentang kehebatan Muar atau nama kunonya, Bentayan adalah sangat panjang. Sesuatu yang sangat sinonim dengan daerah yang pernah menjadi sebahagian daripada empayar Majapahit itu ialah tentang kepelbagaian makanannya. Didapati cerita daripada mulut ke mulut yang mengatakan hidangan sarapan pagi orang Muar berbeza daripada tempat lain bukan satu dongengan. Memang telah diketahui sekiranya menu sate dan mi bandung di Kuala Lumpur atau di Melaka, dimakan pada waktu malam tetapi keadaannya ini amat berbeza di Bandar Muar iaitu 'SATE PAGI'. Pada waktu pagi di Muar, kita akan disajikan dengan pemandangan ramai lelaki separuh umur membakar sate di kaki lima kedai masing-masing. Senario itu boleh dilihat di warung atau kedai-kedai di Jalan Abdullah, Jalan Maharani hingga ke Jalan Petrie dan juga di Tanjung Emas. Antara kedai yang boleh disinggah ialah kedai yang terletak berhampiran Hotel Paris di Jalan Abdullah atau di Terminal Sate Muar dimana ia berdekatan dengan stesen bas Bentayan.

Barangkali pengunjung akan rambang mata melihat lebih daripada 25 jenis kueh-kueh tradisional seperti kuih bakar dan koci, dibariskan di atas sebuah meja panjang. Sekeping kuih yang cuma berharga 30 sen dan sebungkus nasi lemak berharga 70 sen membuatkan anda tidak lokek membelanja rakan anda. Jika ingin beralih ke lokasi sarapan yang lebih eksklusif, singgah minum kopi 434 di Jalan Maharani. Jangan lupa menikmati roti bakar dan telur separuh masak yang juga boleh mengenyangkan. Terdapat juga 'Kedai Bai' di Jalan Hashim yang dibuka sejak pagi dengan hidangan pelbagai kuih mueh dan teh sarbat dimana harganya amat murah sekali. Mee goreng, pisang goreng, pelbagai kuih tempatan dan dijual pada warung yang memang menjadi tumpuan maysarakat tempatan dengan harga serendah RM 3.00 seorang mampu kenyang perut.Muar memang syurga makanan yang unik dimana anda boleh minum cendol pada waktu tengah malam. Perkara itu tidak mustahil di Muar dimana anda boleh mencuba cendol pulut atau kacang yang diusahakan oleh Abdul Nasir Meerasah, 54, di Uptown Jalan Sisi, Muar. Di tempat Uptown yang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad di Jalan Sisi kita juga berpeluang mencuba menu lain seperti tauhu bakar dan otak-otak Muar (enak sungguh otak-otak Muar). Muar yang kaya dengan kepelbagaian makanan dan opera kehidupannya yang muhibah serta harmoni dahulu dikenali juga dengan bandar orang bersara (Bandar Pencen)dimana ramai pegawai kerajaan yang menetap di Muar. Ini kerana bandar ini mempunyai makanan yang enak, murah dan persekitaran untuk bersara yang selesa. 

Comments

Popular posts from this blog

Sisters by ❤️ ((roommate edition))

Trans Studio Bandung (Part 3)

Brunei Language.